Tuesday 9 April 2013

Glukoma Curi Penglihatan???

Assalammualaikum semua,

Apa itu glaukoma??? Jom ikuti kisah ini yang telah ambil dari Utusan Malaysia, 26 Mac 2013 yang lalu untuk bacaan kita semua....



STEVENS yang mula didiagnos menghidap glaukoma ketika berusia 40 tahun, tidak menyangka akan melalui saat getir apabila terpaksa hilang penglihatan dalam sekelip mata sahaja.Katanya, penyakit tersebut tidak mempunyai tanda pada peringkat awal sehinggalah beliau mengalami sakit kepala yang berterusan selama seminggu. Namun beliau sememangnya telah menghidap diabetes sejak berusia 30 tahun lagi. Dalam tempoh tersebut sakit kepala yang menyerang saya tidak hilang menyebabkan saya mengambil keputusan untuk membuat pemeriksaan doktor.

“Selepas membuat pemeriksaan, saya disyaki menghidap penyakit glaukoma. Dalam tempoh tersebut juga doktor telah memberi ubat. Namun, disebabkan ketika itu keadaan tekanan darah dalam mata meningkat dan boleh merosakkan saraf, doktor telah mengesyorkan beberapa pembedahan," katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Sambutan Hari Glaukoma Sedunia, anjuran Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Stevens, pada permulaan hanya mata sebelah kirinya sahaja yang kabur dan lama-kelamaan menjadi buta.Ia kemudian diikuti pula dengan mata sebelah kanan.“Hilang penglihatan secara tiba-tiba menyebabkan saya hilang arah dan tujuan hidup.“Selama setahun saya menjadi murung dan hilang keyakinan diri. Segala keperluan dan aktiviti harian tidak dapat dilakukan seperti biasa, sebaliknya terpaksa bergantung pada isteri. Sampai satu tahap saya cuba melakukan perkara di luar batasan kerana menghadapi tekanan yang melampau. Mujur isteri dan rakan-rakan banyak membantu memberikan sokongan moral untuk kembali bersemangat dan meneruskan hidup seperti biasa," ujarnya.

Selepas pulih daripada tekanan dan mula menerima hakikat tentang keadaan dirinya sebenar, Stevens memasang azam untuk membantu pesakit-pesakit yang senasibnya dengan mendapatkan bantuan terutama dari segi aspek maklumat dan psikologi. Beliau lantas menubuhkan Pertubuhan Glaukoma pada tahun 2009 yang kemudian nama tersebut telah ditukar kepada Persatuan Glaukoma Malaysia. Sementara itu, penyakit glaukoma juga sering digelar sebagai ‘Pencuri Penglihatan Secara Senyap’ atau ‘Penyakit Kebutaan Senyap’. 

Pada 2010 ia dihidap oleh kira-kira 8.4 juta orang di seluruh dunia dan dijangka meningkat kepada 11.1 juta menjelang tahun 2020. Pakar Perunding Oftalmologi PPUKM, Profesor Madya Dr. Jemaima Che Hamzah berkata, glaukoma adalah antara penyakit yang mengancam kesihatan manusia dan menjadi punca kebutaan nombor dua selepas katarak.

“Terdapat dua jenis glaukoma yang kerap dihidap pesakit iaitu glaukoma sudut tertutup dan glaukoma sudut terbuka. Dalam kalangan penduduk Asia, kadar penularan glaukoma adalah 2.4 hingga 5 peratus dengan kebanyakan kes adalah glaukoma sudut terbuka," katanya.

Beliau yang juga pensyarah perubatan di PPUKM berkata, glaukoma sudut terbuka adalah keadaan di mana cecair akueus yang biasanya beredar di hadapan mata disekat mengalir keluar dari mata melalui sistem saliran kecil.Ini menyebabkan tekanan di dalam mata meningkat dan menyebabkan saraf mata rosak.

Golongan yang berumur 40 tahun ke atas adalah mereka yang berpotensi menghidap penyakit tersebut selain faktor-faktor lain yang turut mempengaruhinya. Walaupun glaukoma menyebabkan kerosakan saraf mata secara kekal, kerosakan tersebut mampu dirawat seandainya rawatan diberikan ketika penyakit berada di tahap awal. Mereka yang berisiko menghidap penyakit ini adalah ahli keluarga yang menghidap glaukoma, penghidap kencing manis, mengalami tekanan darah dalam mata yang tinggi, pernah mengalami kecederaan pada mata, rabun jauh serta penggunaan steroid yang kerap dan berpanjangan.

“Walaupun tiada penawar bagi penyakit ini, kajian menunjukkan bahawa jika tekanan dalam mata dapat dikurangkan, glaukoma boleh dikawal dari menjadi lebih teruk. Pada masa ini terdapat beberapa rawatan untuk menurunkan tekanan mata seperti ubat mata, penggunaan teknologi laser dan juga pembedahan," kata Dr. Jemaima. Beliau berkata, terdapat dua jenis rawatan menggunakan laser iaitu Argon Laser Trabeculoplasty ( ALT) dan Selective Leser Trabeculoplasty (SLT). Ketika ini, PPUKM salah satunya hospital kerajaan yang menawarkan rawatan SLT kepada orang awam yang ternyata lebih selamat dan berkesan.
Dalam pada itu, majlis perasmian Sambutan Hari Glaukoma Sedunia, anjuran PPUKM disempurnakan oleh , Naib Censolar UKM, Prof. Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hassan Shahabuddin. Program bermula dari 14 hingga 15 Mac lalu turut menyediakan pemeriksaan penglihatan percuma kepada orang ramai dan ceramah umum penyakit tersebut. - SITI AISHAH YUSOFF




Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kesihatan/20130326/kn_01/Glaukoma-curi-penglihatan#ixzz2PwWf38W1
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment